Tuesday, September 2, 2008

Pengajaran dari filem dan buku cerita



Mungkinkah saudara kaki wayang atau saudara gemar membaca novel?. Kalau jawapannya ya mungkin saudara ada memikirkan tentang pengajaran di sebalik apa yang saudara tonton ataupun yang saudara baca. Saya banyak menonton filem dan membaca buku cerita baik dalam bahasa Inggeris mahupun bahasa Melayu. Pada pandangan saya filem dan buku cerita lebih kurang sahaja kandungannya dan mesej yang ingin disampaikan, yang membezakannya adalah media perantara. Filem lebih berkonsepkan visual manakala buku pula lebih kepada ilustrasi dan teks. Filem dan buku cerita juga terbahagi kepada tiga bentuk iaitu yang berbentuk hiburan semata-mata, yang berbentuk pendidikan dan motivasi serta yang mengambil bentuk kedua-duanya sekali. Di antara filem yang berbentuk hiburan, pendidikan dan motivasi yang saya minati adalah seperti The Secret of My Success, Working Girl, Kungfu Panda dan bedazzle.

The Secret of My Success menceritakan seorang pemuda yang diberikan kerja yang mudah dan bergaji rendah oleh bapa saudaranya di sebuah syarikat terkemuka milik bapa saudaranya namun begitu pemuda tersebut di dalam diam telah berpakat dengan emak saudaranya supaya merahsiakan identitinya sebagai salah seorang executive pemasaran di dalam syarikat tersebut. Di mata bapa saudaranya dia tidak mempunyai sebarang potensi dan sering dianggap lemah maka dengan itu dia bertekad untuk menyangkal persepsi bapa saudaranya itu. Di dalam syarikat itu dia telah membuat dua kerja iaitu sebagai budak suruhan pejabat dan sebagai executive. kekecohan mula timbul apabila majlis makan malam tahunan diadakan dan akhirnya identitinya telah terbongkar apabila beliau diberi anugerah pekerja cemerlang sebagai executive harapan untuk syarikat tersebut.

Kungfu Panda juga tidak kurang hebatnya. Watak Po memberitahu kita bahawa kekurangan fizikal tidak bermakna kita akan gagal dalam hidup. Walau pun bentuk badan Po tidak segagah dan sehebat kelima-lima pendekar yang lain tetapi dengan usaha yang gigih dan dengan hati yang tabah kita boleh menjadi seorang yang hebat yang akhirnya akan dihormati oleh orang lain.

Bedazzle pula menceritakan tentang seorang pemuda yang bekerja di dalam salah sebuah syarikat perisian komputer. Pemuda ini sering dibuli dan dianggap tidak mempunyai masa depan. Pemuda tersebut beranggan-anggan ingin menjadi kaya dan terkenal. Dengan tidak di duga pemuda tersebut telah bertemu dengan syaitan yang menjanjikan kemewahan dan kesenangan. Akhirnya pemuda tersebut ingin menjadi dirinya sendiri apabila beliau mengetahui setiap individu yang beliau ingin jadi mempunyai kelemahan masing-masing.

Secara tidak langsung menerusi filem dan buku cerita kita dapat mempelajari sesuatu nilai, budaya dan seni yang tinggi dari sudut pembangunan sahsiah dan jati diri. Nilai-nilai ini tidak dapat dipelajari dan digunakan dengan baik sekiranya filem dan buku cerita tidak diolah dengan baik dan hanya berpaksikan hiburan semata-mata.

No comments: