Sunday, August 24, 2008

Lelaki Metroseksual

Apa yang anda faham tentang lelaki metroseksual? Sebuah majalah tentang lelaki telah mengklasifikasikan lelaki kepada tiga golongan utama iaitu lelaki klasik, lelaki metroseksual dan lelaki urban. Lelaki klasik terdiri daripada lelaki berpewatakan kasar, macho, berani dan suka bersukan terutamanya bola sepak. Lelaki jenis ini lebih sukakan cabaran. Lelaki klasik memiliki emosi yang kental dan tidak mudah untuk mengeluarkan air mata walaupun berada di dalam situasi yang menyentuh jiwa. Majoriti lelaki klasik tidak suka dan tidak tahu bergaya malah mereka dikatakan akan memakai apa saja yang difikirkan sesuai. Mereka tidak tahu membezakan warna dan sering memakai pakaian mengikut warna kegemaran mereka. Mereka juga tidak menitikberatkan kebersihan dan kekemasan. Tempat kediaman mereka juga tidak begitu terurus (bagi yang bujang).
Lelaki urban pula adalah lelaki generasi baru yang lebih mementingkan stail. Mereka lebih terikut dengan arus muzik dan fesyen semasa misalnya ada yang lebih mengikut stail fesyen ala Hip Hop, R&B, Underground, Punk dan lain-lain lagi. Lelaki jenis ini terdiri daripada golongan remaja iaitu yang berusia antara 15 tahun sehingga 25 tahun. Mereka dilihat lebih suka memakai pakaian yang melambangkan sesuatu genere muzik atau fesyen terkini.
Lelaki metroseksual pula adalah lelaki yang berusia 26 tahun dan keatas dan selalunya mereka baru memulakan kerjaya. Lelaki jenis ini dikatakan mempunyai jiwa yang agak lembut, sensitif dan lebih menghormati orang lain. Lelaki jenis ini sering disalah anggap sebagai golongan mak nyah tetapi pada hakikatnya mereka tetap lelaki. Mereka lebih mementingkan gaya, citarasa dan lebih mementingkan fesyen, tahu memilih padanan warna dan lebih romantik, bersikap memujuk dan begitu teliti apabila membuat sesuatu kerja, menyukai warna lembut, mempunyai falsafah yang begitu tinggi dan memiliki prinsip-prinsip tertentu. Lelaki jenis ini juga sering memegang jawatan tinggi dan mempunyai kedudukan di dalam masyarakat. Lelaki jenis ini juga lebih penyabar dan penyayang dan selalunya lelaki jenis ini akan disukai oleh semua golongan dan jantina kerana sifat mereka yang lebih mesra dan mempunyai budi pekerti yang tinggi. Mereka bukan saja pandai bergaya malah lebih terurus di pejabat mahu pun dirumah. Lelaki seperti ini lebih terlibat di dalam kerjaya pereka fesyen, chef, seni lukis dan lain-lain yang bersifat kesenian.