Sunday, May 9, 2010

Selamat Hari Pekerja dan Selamat Hari Ibu 2010

Salam Kegemilangan dan Salam Satu Malaysia semua, penulis berharap semuanya dalam keadaan sihat hendaknya. Besua kembali di lembaran ini. Bulan Mei berkunjung lagi. Bulan Mei adalah bulan yang mempunyai dua hari yang amat bermakna kepada penulis dan kepada kita semua iaitu Hari Pekerja yang disambut pada 1 Mei dan Hari Ibu yang disambut pada 9 Mei setiap tahun. Bagi mereka yang bekerja tentunya berasa gembira jika tibanya 1 Mei setiap tahun kerana hari ini bukan saja cuti umum malah ianya juga merupakan hari bagi menghargai setiap pekerja tidak kiralah yang bekerja kerajaan, swasta mahupun yang bekerja sendiri.

Penulis ingin berkongsi pandangan dengan anda semua di luar sana. Pada pandangan penulis kita patut bersyukur kerana kita mempunyai pekerjaan dan masih bekerja, terdapat juga segelintir insan di luar sana yang masih tidak mempunyai pekerjaan dan masih menganggur, ada yang sudah menganggur bertahun-tahun lamanya. Bukan senang ingin mendapatkan sesuatu pekerjaan sekarang terutamanya yang berstatus OKU, mereka ini juga memerlukan pekerjaan yang setimpal dengan kelayakkan mereka. Mereka terpaksa bersaing dengan golongan normal untuk mendapatkan pekerjaan dan biasanya golongan ini akan tertinggal di belakang kerana saingan yang sengit dan para majikan yang hanya memilih golongan normal sahaja sebagai calon pilihan mahu tidak mahu golongan OKU terpaksa akur dengan situasi ini. Bukan sahaja golongan OKU yang terpaksa mengalami masalah ini, ada di antara golongan normal juga yang tidak dapat bersaing untuk mendapatkan sesuatu pekerjaan kerana beberapa faktor, dianataranya ialah faktor markah atau gred CGPA yang rendah, kefasihan berbahasa terutamanya bahasa Inggeris, kurangnya soft skill dan faktor memilih kerja dikalangan graduan normal. Walau apa pun faktornya kita sebagai warga pekerja perlu memberi sepenuh fokus, dedikasi dan comitment yang jitu terhadap kerja dan jawatan yang disandang.

Hari Ibu yang jatuh pada 9 Mei setiap tahun adalah suatu hari yang sangat istimewa terutamanya kepada penulis kerana hari ini adalah hari bagi mengenang jasa Ibu. Pengorbanan ibu tiada tolok bandingnya dan tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Bagi mereka yang mempunyai ibu hargailah ibu anda kerana tanpa pengorbanan ibu kita tidak akan ke mana. Sekian sampai ketemu lagi...