Tuesday, January 6, 2009

Bijak vs Pandai



Setahun sudah berlalu, 2008 dalam kenangan, sama ada kenangan yang terindah atau pun kenangan yang terpahit, masing-masing empunya diri yang tahu menilainya. Namun apa yang menjadi persoalannya sekarang bagaimana kita hendak mengharungi tahun 2009, tahun dimana para cerdik pandai meramalkan tahun yang benar-benar mencabar dari segi ekonomi, politik mahu pun sosial. Kita sebagai manusia hanya mampu berdoa dan berharap dengan harapan yang baik, kuasa ditanganNYA. DIA yang akan menentukan segala-galanya.

Tanggal 30 Disember 2008 lalu, keputusan PMR telah pun diwar-warkan, bagi yang mendapat keputusan yang cemerlang, gemilang dan terbilang tentunya berasa bangga dan gembira namun bagi yang gagal, perasaan dukacita, muram, suram dan sedih menyelubungi jiwa. Sebagaimana yang kita tahu pemburuan A bagi kesemua mata pelajaran adalah menjadi idaman dan igauan bagi setiap pelajar yang menduduki peperiksaan ini. Pemburuan A bagi kesemua matapelajaran bukan hanya bagi peperiksaan PMR sahaja malah bagi kesemua peperiksaan umum yang lain. Ironinya kepandaian seseorang pelajar itu diukur dengan bilangan A yang diperolehi sehingga ada pelajar yang sanggup membunuh diri kerana tidak mendapat apa yang diidamkan.

Berapa banyak A yang diperolehi seseorang pelajar itu bukannya penentu kejayaan pada masa hadapan malah terdapat individu-individu yang mendapat banyak A di dalam peperiksaan-peperiksaan umum yang didudukinya tidak seberjaya yang diharapkan apabila mereka melangkah ke alam kerjaya. Ini terbukti apabila dua dari rakan penulis tidak mendapat kerjaya yang diimpikannya. Seorang rakan penulis berkelulusan sarjana muda di dalam bidang business dari USA tetapi sekarang hanya berniaga kecil-kecilan. Seorang lagi berjaya mendapat anugerah dekan di Universiti, sekarang menjual kredit kad untuk salah sebuah bank perdagangan di ibu kota. Ini menunjukkan seberapa banyak A pun yang diperolehi oleh seseorang individu itu belum dapat melayakkannya berjaya di dalam dunia sebenar malah ada diantara individu-individu ini terpaksa berpuas hati dengan kejayaan rakan yang dahulunya bukan dari golongan straight A's student.

Menurut salah sebuah majalah keluaran tahun 80'an ada membincangkan mengenai perkara ini. Apa yang tertulis di dalam majalah tersebut telah menarik perhatian penulis. Majalah itu menyatakan bahawa pelajar sekolah terbahagi kepada tiga kumpulan utama. Pelajar bergred A, pelajar bergred B dan pelajar bergred C. Pelajar gred A atau lebih umumnya digelar straight A's student atau golongan nerd adalah pelajar yang sentiasa cemerlang dari segi akedemiknya tetapi agak pasif dalam kegiatan ko-kurikkulum seperti persatuan, kelab dan sukan. Pelajar ini sering menjadi idola dan kebanggaan sekolah untuk pencapaian akedemiknya. Bagi golongan pelajar B pula adalah pelajar yang sederhana sama ada dari segi akedemik, persatuan, kelab mahupun sukan. Pelajar gred C adalah pelajar yang boleh diklaskan sebagai pelajar yang lemah, lemah dari segi akedemik, persatuan, kelab dan sukan. Biasanya pelajar ini tidak ramai. Pelajar ini akan sentiasa diberi perhatian oleh para guru dan pihak sekolah.

Menurut majalah itu lagi pelajar yang akan cemerlang di dalam kehidupan sebenar dan yang berjaya dalam kerjaya yang diceburinya adalah pelajar dari gred B. Majalah itu juga menunjukkan graf yang diwakili oleh ketiga-tiga golongan pelajar. Pelajar dari gred B telah mencapai 90% peratus kejayaan dalam dunia sebenar berbanding pelajar dari kumpulan-kumpulan lain. Ini menunjukkan kejayaan akedemik semata-mata tidak akan berjaya sepenuhnya melainkan ia digabungkan dengan 3 lagi bahagian yang penting yang mesti ada di dalam diri setiap individu untuk berjaya. Tiga lagi bahagian yang perlu ada adalah Emotional Quotient(EQ), Spritual Quotient(SQ) dan Physiological Quotient(PQ).

EQ penting kerana tanpa EQ seseorang tidak dapat mengawal perasaannya, begitu juga SQ penting untuk seseorang individu itu mengawal kerohaniannya iaitu dari segi kepercayaan dan motivasi kendiri, PQ juga tidak kurang penting kerana tanpanya seseorang tidak dapat mencapai arah tujuan yang ingin dicapainya jika dia selalu mengalami kesakitan tubuh badan dan berpenyakit.

No comments: